KENANGAN JABATAN TANAH (Click here)
Ringkasan Mengenai Jabatan Tanah
Jabatan Tanah merupakan salah sebuah Jabatan Kerajaan yang tertua di Negara Brunei Darussalam. Pada tahun 2009 genapnya 100 Tahun Pentadbiran Tanah moden yang berasaskan kepada Kanun Tanah (Penggal 40) yang dikuatkuasakan pada 6hb September 1909. Dengan adanya Kanun Tanah ini maka terbentuklah sistem pendaftaran hak milik tanah moden yang menghendaki tanah-tanah yang dilupuskan untuk didaftarkan di Jabatan Tanah dan dikeluarkan surat hak kepemilikan dalam bentuk dokumen geran tanah sebagai jaminan dan bukti pemilikan tanah.
Pada peringkat awalnya, pentadbiran tanah telah dikendalikan oleh British Resident sehinggalah Pengisytiharan Perlembagaan pada tahun 1959 yang mana kuasa memberi hak milik adalah di bawah kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Majlis Mesyuarat.
Misi Jabatan Tanah adalah untuk "Melaksana Pentadbiran dan Pengurusan Tanah Melalui Perkhidmatan Yang Cekap Dan Responsif Kepada Pelanggan" dengan "Penjana Kemakmuran dan Kesejahteraan Negara" sebagai Visinya.
Pada masa ini, Jabatan Tanah mengendalikan lebih daripada 20 jenis perkhidmatan kepada orang ramai melalui Pejabat-Pejabat Tanah Daerah dan mendaftarkan lebih kurang 55 jenis pendaftaran tanah. Sebagai agensi yang diamanahkan untuk menjaga pemilikan tanah negara, pihak Jabatan Tanah melaksanakan fungsi terasnya dengan mengurus dan mentadbir hal ehwal tanah berpandukan kepada perundangan-perundangan tanah iaitu Kanun Tanah (Penggal 40), Akta Pengambilan Balik Tanah (Penggal 41), dan Kanun Tanah (Strata) (Penggal 187) dan juga dasar-dasar tanah yang sentiasa dikemaskini mengikut perkembangan semasa sosio dan ekonomi negara. Jabatan Tanah juga melaksana pendaftaran hakmilik tanah yang diurusniagakan, mengutip hasil tanah dan memberikan khidmat penaksiran untuk urusan rasmi kerajaan
Inisiatif Jabatan Tanah terhadap kesejahteraan rakyat
Antara inisiatif Jabatan Tanah bagi kemudahan dan kesejahteraan rakyat adalah dengan:
- Pengeluaran Lesen Tumpang Sementara (LTS) bagi membolehkan pendudukan tanah kerajaan untuk kegunaan yang meningkatkan taraf ekonomi dan sosial rakyat.
- Pengurniaan geran-geran tanah jenis pemilikan secara pajakan selama 99 tahun kepada pemegang-pemegang tanah secara Tanah Lesen Tumpang Sementara (LTS) yang berkelayakan.
- Pendigitalan Pendaftaran Tanah bermula pada tahun 1984 dengan memperkenalkan Sistem Pendaftaran Tanah / Land Registration System (LRS) bagi memantapkan keselamatan penyimpanan dokumen hakmilik dan daftar tanah dan memudahkan pencarian maklumat daftar tanah.
- Perkhidmatan penyaluran maklumat yang telus, informatif dan terkini kepada pelanggan dan stakeholders melalui laman sesawang Jabatan (www.tanah.gov.bn) yang mengandungi dan menyampaikan maklumat, panduan, jenis perkhidmatan, borang-borang permohonan, laporan, perangkaan, perubahan, penambahbaikan perkhidmatan dan juga berita semasa.
- Penguatkuasaan Akta Kanun Tanah (Strata), Penggal 189 pada 01 Julai 2009 yang membuka peluang bukan sahaja kepada rakyat Negara Brunei Darussalam tetapi juga kepada rakyat asing untuk memiliki harta tanah dalam bentuk strata di Negara Brunei Darussalam.
- Penyimpanan tanah kerajaan untuk tapak-tapak projek bagi kegunaan agensi-agensi kerajaan berkepentingan.
- Memberikan pengecualian pembayaran premia permohonan pembaharuan tempoh pajakan tanah kepada pemilik-pemilik tanah yang berkelayakan.
- Memberikan perlindungan hak kepentingan keatas tanah melalui pendaftaran kaveat berkuatkuasa pada 1 Januari 2021.
- Memastikan pemberian pampasan yang setimpal kepada pihak-pihak yang terlibat dengan pengambilan balik tanah untuk projek kerajaan.
- Menyediakan sistem pembayaran atas talian bagi memudahkan pelanggan membuat pembayaran (on-going projek) dan juga memaksima kutipan hasil jabatan.
- Menghasilkan dasar-dasar guna tanah yang mendukung aspirasi dan menjaga kepentingan negara.
Petikan Titah Di Majlis Penganugerahan Geran-Geran Tanah, Skim Perancangan Semula Perpindahan Kampong-Kampong Di Kawasan Anggerek Desa Berakas pada 26 Syaaban 1411 Bersamaan 13 Mac 1991.
"Menyentuh mengenai dengan tanah ini, rakyat jati perlulah menyedari, bahawa satu-satunya jenis harta yang paling bernilai, ialah tanah. Tanah adalah tempat diam, tempat kita berhidup. Tanpa tanah, seseorang akan menjadi dagang dan papa. Lebih baik sedikit wang dari tidak mempunyai tanah. Sebab daripada tanah itu, orang akan dapat bermacam-macam jenis rezeki, termasuklah rezeki kebebasan dan kemerdekaan. Adapun dua jenis rezeki ini, tidak akan dapat dibeli. Walaupun dengan wang ringgit yang banyak.
Sebagai bukti, cuba kita ingatkan nasib orang-orang malang yang tidak bertanah, mereka itu kadang-kadang menjadi setinggan yang sentiasa diburu-buru. Mereka tidak lagi mempunyai kebebasan, bahkan telah dianggap sebagai penjenayah kerana menduduki tanahtanah yang bukan milik mereka. Ini satu tragedi yang menimpa ke atas orang-orang yang tidak mempunyai tanah.
Dan berdasarkan inilah, suka beta mengingatkan kepada rakyat beta, khususnya rakyat jati di negara ini, supaya peka dengan masalah tanah ini. Janganlah ia dijadikan perkara secondary, tetapi patut diutamakan sebagai asas mengekalkan "ketuanan" serta sumber rezeki yang berkat.
Kita tidak mahu ada di kalangan masyarakat rakyat jati itu orang-orang yang tidak sayangkan tanah, seperti setengah orang-orang kita dahulu, yang sangat mudah menjualkan tanah-tanah mereka, walaupun dengan harga yang paling rendah. Atau ada juga tanah-tanah itu yang tergadai begitu sahaja, disebabkan oleh hutang-hutang yang tidak dapat dijelaskan, walaupun kadar hutang tersebut tidak seberapa.
Demikianlah, kita pernah mendengar, disebabkan hutang yang sedikit, yang tidak sampai berbelas ribu atau berpuluh-puluh ribu ribu ringgit, boleh menyebabkan berbelas-belas atau berpuluh-puluh ekar tanah terpaksa ke tangan orang lain.
Hal ini amatlah mendukacitakan, kerana ia boleh membawa kepada kekecewaan dan penyesalan yang berpanjangan. Oleh itu, adalah perlu sikap dan tabiat yang merugikan ini dibuang habis-habis sehingga ke akar-umbinya".