Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Sistem LARIS secara percubaan 17 Februari

Oleh: Haniza Abdul Latif | Foto: Hernie Suliana Haji Othman | Rabu, 17 Februari 2016

TIMBALAN Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, melancarkan Soft Launching Sistem Maklumat Pendaftaran dan Permohonan Tanah, LARIS melalui portal www.tanah.gov.bn.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 16 Februari. - Dalam usaha untuk memudahkan menjalankan perniagaan di negara ini dan untuk memberi pemilik tanah dan pembeli berpotensi, kemudahan untuk menjalankan urus niaga berkaitan tanah secara atas talian, Kementerian Pembangunan akan mula menggunakan Sistem Maklumat Pendaftaran dan Permohonan Tanah (Land Application and Registration Information System - LARIS) secara percubaan bermula 17 Februari ini.

Sistem tersebut dimajukan dengan kerjasama di antara Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan dan Brunei Solutions Development Centre (BSDC) di bawah Pusat Kebangsaan E-Kerajaan.

Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar hadir pada 'Soft Launching' sistem berkenaan yang berlangsung di Ruang Legar, Kementerian Pembangunan, di sini.

LARIS akan membolehkan pemilik tanah mengakses secara atas talian pada maklumat mengenai tanah mereka dan mendapatkan kebenaran untuk memindah milik tanah.

TIMBALAN Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, semasa menerima penerangan ringkas mengenai sistem LARIS yang baru dilancarkan secara percubaan.

Selain itu, ia juga menyediakan pemilik tanah untuk membuat permohonan secara atas talian bagi mendapatkan kebenaran untuk menyambung tempoh pajakan, permohonan tukar syarat khas tanah, pendaftaran gadaian dan pendaftaran pajakan tanah persendirian.

Sistem, 'LARIS.gov.bn' ini boleh diakses melalui portal e-Darussalam di mana sebelum mengakses sistem berkenaan, pengguna dikehendaki mendaftar akaun e-Darussalam terlebih dahulu dan semua permohonan memerlukan dokumen-dokumen yang disertakan untuk diimbas dan dimuat naik untuk disertakan bersama permohonan berkenaan.


SISTEM LARIS menghendaki pengguna mendaftar ke portal e-Darussalam terlebih dahulu sebelum dapat mengakses www.LARIS.gov.bn untuk maklumat dan permohonan tanah secara online.

Tempoh percubaan akan berlangsung bermula 17 hingga 28 Februari 2016 yang mana jerayawara dan taklimat akan diadakan dalam tempoh pengenalan ini serta pemilik tanah berdaftar akan mempunyai peluang untuk mengemaskini data peribadi mereka di tempat-tempat yang telah disediakan.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyaksikan sistem tersebut semasa jerayawara diadakan dan mereka juga boleh mendaftar ke e-Darussalam serta menjelaskan pembayaran cukai tahunan tanah.

Dengan memperkenalkan LARIS berkenaan, sistem pengurusan dan pentadbiran tanah dijangka akan bertambah baik juga untuk mengurangkan masa yang diambil untuk mendapatkan kebenaran yang diperlukan bagi permohonan berkaitan tanah.

Untuk kemudahan, permohonan juga boleh dibuat di lokasi awam tertentu seperti di Business Helpdesk, Bangunan Design and Technology dan semua cawangan daerah Jabatan Tanah di mana komputer serta pengimbas disediakan untuk kegunaan awam apabila sistem secara rasmi dilancarkan.

Maklumat lanjut mengenai LARIS boleh dilayari di 'www.tanah.gov.bn'.

​Sumber: Pelita Brunei.


Attachments